Adab Pernikahan (bagian 6)
Bismilahirrahmanirrahim Walhamdulillahi Rabbil ‘aalamiin Wassholatu Wassalamu `Ala Rasulillah, Wa’ala Aalihie Washohbihie Waman Walaah amma ba’du…
oleh Hujjatul Islam Al Imam Al Ghazali
Kewajiban Suami
Kesepuluh: Dalam adab-adab bersetubuh. Sunnat dimulakan dengan perbualan-perbualan manis dan bercumbu-cumbun, manakala suami menutup kepalanya dan suaranya direndahkan seolah-olah, dia sedang berbisik-bisik.
Apabila telah memuncak keinginannya, hendaklah ia menunggu seketika
sehingga isteri pula datang nafsunya. Hendaklah suami jangan mendatangi isteri sewaktu haidh bahkan hendaklah ia menunggu seketika sehingga ia bersih dari haidh, tetapi bolehlah ia bersenang-senang dengan seluruh tubuh badannya, melainkan bersetubuh saja yang dilarang.
Janganlah pula ia cuba mendatangi isteri yang dalam haidh itu pada jalan lain yang telah ditentukan. Perbuatan yang demikian itu adalah ditegah dengan keras, kerana dikhuatiri akan berlaku sesuatu bahaya atau penyakit.
Ketahuilah bahwa bahaya dan penyakit itu sentiasa ada, sebab itu ia
menjadi lebih keras haramnya daripada bersetubuh dengan isteri yang sedang haidh. Allah telah berfirman:
“Hendaklah kamu mendatangi ladangmu (isterimu) sebagaimana yang kamu ingini.” (QS al-Baqarah: 223)
Maksud dari ayat sebagaimana yang kamu ingin ialah pada bila-bila masa yang kamu merasa berkeinginan.
Sewaktu isteri masih dalam haidh, tiada tegahan bagi suami untuk
beristimna’ (mengusahakan keluarnya air mani) dengan membiarkan tangan isteri bermain-main pada seluruh tubuh badan suami, begitu pula boleh juga suami meraba-raba bahagian-bahagian yang di dalam kain isteri sehingga naik syahwatnya, hanya yang dilarang ialah bersetubuh saja. Malah tiada larangan seseorang suami mengajak isteri yang dalam haidh makan bersama-sama dengannya, atau baring bersama-sama, atau melakukan perbuatan-perbuatan yang seumpama itu.
Di antara adab-adab bersetubuh lagi, janganlah ia ber’azal (menumpahkan air mani di luar kemaluan wanita), sebab tidak ada suatu yang bernyawa yang telah ditakdirkan Allah wujudnya melainkan ia tetap akan wujud bagaimana sekalipun diusahakan untuk mengelakkannya.
Mengenai perbuatan ‘azal itu, ada berbagai-bagai pendapat ulama. Ada yang mengharuskan [mungkin maksudnya 'makruh', wallahu a'lam, ed. MD], dan ada pula yang menghalalkan dengan syarat keredhaan isteri. Jika isteri tidak redha maka dihukumkan haram supaya isteri tidak teraniaya. Tetapi pendapat yang betul ialah pendapat yang pertama, iaitu harus hukumnya.
Tersebut dalam Sahih Bukhari dan Muslim sebuah Hadis dari Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh jabir r.a. katanya; Kita pernah melakukan ‘azal dalam zaman Rasulullah s.a.w. padahal al-Quran masih turun ke atas baginda. Dengan lafaz yang lain: Kita pernah melakukan ‘azal, maka berita itu telah sampai ke pengetahuan Nabi Allah s.a.w tetapi baginda tiada melarang kami.
Barangkali faedah melakukan ‘azal’ ini kerana hendak memelihara kecantikan isteri dan kesihatannya supaya sering dapat bersenang-senang dengannya. Ataupun untuk mengekalkan perkongsian hidup dengannya supaya terjatuh dari bahaya talaq. Ataupun kerana sebab-sebab yang lain, seperti tidak suka banyak anak sehingga menyebabkan kesukaran untuk mencari nafkah, atau untuk memelihara diri dari keperluan bekerja terus-menerus untuk mencari kelebihan rezeki, dan melakukan kerja-kerja yang tak baik atau lain-lain lagi. Sebab kurangnya kesukaran dalam kehidupan akan menolong kepada menegakkan agama.
Kesebelas: Dalam adab-adab melahirkan anak, ada lima perkara:
(1) Jangan sampai terlalu gembira bila menerima anak lelaki,
atau terlalu dukacita bila mendapat anak perempuan, kerana dia tidak
mengetahui di mana letaknya tuah di antara keduanya. Betapa banyaknya
orang yang dianugerahi anak lelaki merasa kesal di kemudian hari, dan
bercita-cita kalaulah anak itu tiada dilahirkan sama sekali. Yang lain
pula mengharapkan anak itu, kalau boleh menjadi perempuan saja. Bahkan pada menerima anak perempuan itu, ada kalanya lebih besar pahalanya.
Berkata Anas meriwayatkan Hadis dari Rasulullah s.a.w., sabdanya:
Barangsiapa yang mempunyai dua orang anak perempuan, ataupun dua orang saudara perempuan, lalu ia membuat baik kepada keduanya selama ia berdampingan dengan mereka, nanti kelak di dalam syurga saya dan dia seperti dua jari ini.
(2) Hendaklah diazankan di telinga bayi sebaik-baik saja ia
lahir dari perut ibunya.
(3) Hendaklah bayi itu dinamakan dengan nama yang baik.
Sesiapa yang telah diberikan nama yang tak baik, sunnat diubah nama itu dengan yang lain.
(4) Sunnat dibuatkan aqiqah iaitu menyembelih dua ekor
kambing bagi anak lelaki atau seekor bagi anak perempuan. Kemudian sunnat pula disedekahkan emas atau perak seberat rambutnya yang dipotong pada hari ketujuh.
(5) Hendaklah diamanahkan ke dalam mulutnya dengan sebutir
kurma atau lain-lain manisan, kerana yang demikian itu dari amalan
Rasulullah s.a.w
Kedua belas: Dalam perkara talaq yang mana ia merupakan perkara harus yang amat dibenci di sisi Allah Ta’ala. Talaq itu dihukumkan harus, apabila ia tiada disertai dengan penganiyaan dengan jalan yang salah. Namun demikian apabila seseorang telah mentalaq isterinya, maka tentulah ia telah menyakiti hatinya, sedangkan menganiaya atau menyakiti orang lain tiada dibenarkan oleh agama melainkan jika berlaku kesalahan dari pihak isteri, ataupun timbulnya suatu dharurat dari pihak lelaki. Allah telah berfirman:
“Jika isteri-isteri itu mentaati kamu, janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menganiayai mereka.” (QS an-Nisa’: 34)
Yakni, maksudnya janganlah pula kamu mencari jalan untuk mentalaqkan mereka itu. Tetapi jika ayah si suami tiada senang dengan isteri anaknya, bukan kerana sesuatu sebab yang tak baik, maka hendaklah is mentalaqkan isteri sebagai tanda ketaatan kepada ayah.
Dalam hal isteri menyakiti suami, ataupun berlaku buruk terhadap keluarga suami, maka is dikira bersalah. Begitu pula, jika isteri itu buruk perilakunya ataupun rosak agamanya. Tetapi jika penganiyaan berlaku dari suami terhadapnya, maka ada jalan bagi isteri untuk menebus dirinya dari suami yang zalim itu dengan membayar wang. Dalam hal ini, makruh bagi lelaki untuk menuntut tebusan wang lebih daripada kerugiannya, kerana yang demikian itu adalah semacam tekanan atau bebanan untuk memberati isteri. Bahkan ini berarti seolah-olah sebagai memperniagakan kemaluan wanita.
Allah telah berfirman:
“Tidak mengapa atas keduanya pada apa yang dibayar oleh perempuan untuk menebus dirinya.” (QS al-Baqarah: 229)
Jadi pengambilan apa yang telah diambil dari suami itu adalah hak untuk dijadikan tebusan diri isteri dari suami. Adapun isteri yang meminta talaq apa-apa sebab, maka ia berdosa besar sekali.
Seorang suami yang ingin mentalaqkan isterinya, hendaklah memerhatikan empat perkara berikut, iaitu:
(1) Hendaklah ia mentalaqkan isterinya dalam keadaan suci
dari haidh yang belum ia bersatu dengannya. Sebab talaq dalam waktu haidh ataupun dalam masa suci yang ia telah bersatu dengannya adalah seperkara did’ah yang haram, sekalipun memang ia sengaja melakukan perbuatan itu menjadikan masa iddahnya lebih panjang. Sekiranya ia telah melakukan itu, maka hendaklah ia merujuk isterinya semula. Kemudian ia tunggu pula hingga ia suci sekali lagi, kemudian haidh, kemudian suci lagi, dan pada masa itu terserahlah kepadanya, kalau mahu ditalaqkannya ataupun dibiarkan saja dalam aqadnya.
(2) Hendaklah ia menjatuhkan talaq satu, kerana dengan talaq
satu pun sudah terhasil meksudnya. Kemudian faedah dari talaq satu, suami boleh rujuk semula sewaktu dalam iddah, jika ia merasa sesal dengan keputusannya yang mula-mula. Jika ia menjatuhkan talaq tiga sekaligus, barangkali ia akan menyesal, maka ketika itu ia tidak boleh kembali lagi kepada isterinya melainkan dengan jalan muhallil; iaitu isterinya dinikahi oleh orang lain lebih dulu sekadar pelepasan nafsunya, kemudian diceraikan dan barulah boleh berkahwin semula dengannya. Aqad nikah muhallil ini ditegah dan dalam hal ini dialah yang menjadi penyebab aqad muhallil itu.
(3) Hendaklah ketika menyebutkan talaq itu dengan suara
lemah-lembut dan menerangkan sebab mengapa ia terpaksa mentalaqnya tanpa kekerasan. Dalam pada itu hendaklah ia menyabarkan dan menggembirakan hati isteri yang ditalaqnya itu dengan sesuatu hadiah, sebagai penutup sakit hatinya dikeranakan berita talaq yang disampaikan kepadanya. Allah telah berfirman:
“Dan berikanlah (isteri-isteri yang diceraikan itu) pemberian,” (QS al-Baqarah: 236)
Al-Hasan bin Ali r.a. pernah menyampaikan perkata talaq dua orang
isterinya kepada para sahabatnya dengan meminta mereka menyebutkan tentang talaq itu kepada dua isteri tersebut. Kemudian beliau telah membayar kepada setiap isteri sepuluh ribu dirham.
(4) Janganlah sampai suami membocorkan rahsia isteri, sama
ada sewaktu talaq ataupun sewaktu menikah, sebab ada tegahan keras yang melarang membocorkan rahsia kaum wanita dengan ancaman yang paling berat.
(BERSAMBUNG ke bagian 7)
SUMBER:
INTISARI KITAB
Mau’izhatul Mu’minin min
“IHYA’ ULUMIDDIN”
==Hujjatul Islam Al Imam Al Ghazali==
(Bimbingan Mu’min dari Menghidupkan Ilmu-ilmu Agama)
lewat Gus Arland di KMNU2000
Sorry, comments for this entry are closed at this time.